Thursday, November 5, 2009

Betapa takutnya salafus soleh kepada Allah


MUKADDIMAH

Kebanyakan manusia melakukan ibadat tanpa ada perasaan takut kepada Allah. Ibadah mereka seumpama kotak yang tidak berisi. Perasaan takut dan gentar hati adalah sifat orang berIman yang tulen. Firman Allah swt:

" Sesungguhnya orang-orang beriman itu hanya orang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah Iman mereka bila dibacakan ayat-ayat Allah dan mereka berserah diri kepada tuhan mereka." (2 : al-Anfal)

Oleh bagi memotivasikan diri kita agar kita dapat menanam perasaan takut dan gentar kepada Allah, saya hidangkan beberapa kisah para sahabat dan ulama yang diri mereka amat takut kepada Allah.


1. SAMMAH رحمه الله

Pada suatu hari Sammah رحمه الله bermuhasabah dirinya. Dia mengira umurnya sudah menjangkau 60 tahun. Lalu dia membilang hari-hari yang telah dilaluinya , dia mendapati sudah 21 ribu hari. Lalu dia berkata:

يا ويلتى لو لم يكن في كل يوم سوى ذنب واحد لكان أمرا عظيما فكيف ولي في كل يوم عشرة ألاف ذنب؟

" Alangkah celakanya, kalau aku hanya buat satu dosa sahaja sehari dosaku sudah amat besar dan banyak dosaku. Bagaimana pula kalau aku mempunyai sehari 10,000 dosa?"

Kemudian dia terus menjerit dan jatuh pengsan. Bila orang-orang lain mengejutkannya, mendapati dirinya sudah mati.

2. MUHAMMAD BIN WASIE'

Ketika Muhammad bin wasi' رحمه الله dalam keadaan sakit tenat, ramai manusia yang menziarahinya. Ada yang berdiri dan ada yang duduk. Beliau berkata kepada seorang sahabatnya:

أخبرني ما يغني هؤلاء عني إذا أخذ بناصياتي وقدمي غدا وألقيت في النار؟ ثم تلا هذه الأية يعرف المجرمون بسيماهم فيؤخذ بالنواصي والأقدام

"Beritahu aku, apakah mereka semua ini boleh membantu aku ketika malaikat menyentap ubun2 dan kedua kaki ku dan aku dicampakkan ke dalam api neraka pada hari kiamat kelak? Kemudian beliau membaca ayat ini:

"Orang-orang yang berdosa dikenali dengan tanda-tanda yang ada pada mereka dan akan direntap ubun2 dan kaki mereka." (41 : ar-Rahman)

3. Suatu hari Abu Hurairah ra menangis ketika beliau sakit. Lalu ada orang berkata kepadanya: "Kenapa engkau menangis?" Lalu beliau menjawab:

أما إني لا أبكي على دنياكم هذه
ولكني أبكي لبعد سفري وقلة زادي وأصبحت في صعود مهبطة على جنة ونار فلا أدري إلى أيهما يسلك بي

"Adapaun aku sesungguhnya tidak menangis kerana kehilangan dunia ini, tetapi aku menangis kerana betapa jauh perjalanan ku (di akhirat) dan amat sedikit bekalan ku (amalan ku). Aku seumpama menaiki tempat yang tinggi dan akan jatuh samaada ke neraka atau ke syurga. Aku tidak tahu aku akan terjerumus ke neraka atau masuk ke syurga."

4. SAID BIN 'AMIR RA

Said bin 'Amir ra adalah seorang sahabat yang dilantik Umar ra sebagai pemerintah Syam. Penduduk syam telah mengadu kepada Umar ra tentang Sa'd. Diantaranya ialah
Sa'id selalu jatuh pengsan. Lalu Said ra menjawab:

"Sesungguhnya aku kadang-kadang pengsan adalah disebabkan aku dahulu telah melihat pembunuhan Khabib al-Ansari ra di Makkah. Orang-orang Quraisy telah memotong dagingnya hidup-hidup dan menanggungnya diatas batang pokok kurma. Ketika itu mereka bertanya kepadanya "Adakah kamu suka kalau Muhammad ditempatmu sedangkan dirimu selamat sejahtera." Beliau menjawab "

والله ما أحب أني في أهلي وولدي معي عافية الدنيا ونعيمها ويصاب رسول الله صلى الله عليه وسلم بشوكة

"Demi Allah aku sesungguhnya tidak suka bersama anak2 dan isteriku dalam keadaan sihat dan mendapat nikmat sedangkan Rasulullah saw tercucuk duri."

Setiap kali aku teringat peristiwa yang menimpa khabib yang mana ketika itu aku masih musyrik, kemudian aku teringat bahawa aku tidak menolongnya , aku gementar kerana takut dengan azab Allah sehingga aku pengsan."

5. ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Sesungguhnya Abu Bakar as-Siddiq ra ketika dirumahnya telah didatangi oleh seekor burung. Burung itu hinggap di sebatang pokok. Lalu Abu Bakar memandang burung tersebut dan berkata:

طوبى لك يا طير ما أنعمك على هذه الشجرة تأكل من هذه الثمرة ثم تموت ثم لا تكون شيئا ليتني مكانك

" Beruntunglah wahai burung terhadap nikmat pohon yang telah Allah berikan kepada mu. Engkau makan buah dari pohon ini. Kemudian engkau akan mati dan tidak dibangkitkan untuk dipertanggungjawabkan seperti manusia. Alangkah baiknya aku ditempat mu." (Hr Ibnu Abu Dunya)


KESIMPULAN

Walaupun mereka banyak melakukan amal soleh dan sebahgianya yang sudah dijamin syurga seperti Abu Bakar tetapi perasaan takut mereka melebihi segalanya. Mereka amat bimbang tidak diterima amalan mereka. Mereka begitu takut untuk berjumpa dengan tuhan. Balasan mereka adalah syurga seperti mana firman Allah swt:

ولمن خاف مقام ربه جنتان

" Dan sesiapa yang takut untuk berdiri dihadapan tuhannya pada hari kiamat mendapat dua syurga." (46 : ar-Rahman)


Rujukan: Makhawuf as-salihin min adamil qabul al-A'mal oleh Dr Muhammad 'Azzuz, Qasasus Salihin wa dumu'il Abidin oleh Haidar Muhyiddin dan at-Tahzibul Maudu'ie lihilyatul Auliya oleh Muhammad bin Abdullah.

Saturday, October 24, 2009

Hukum memberi ucapan selamat hari raya untuk orang kafir

MUKADDIMAH

Dalam shoutbox ada pertanyaan yang berkait dengan hukum mengucapkan selamat hari raya bagi perayaan orang kafir kepada orang-orang kafir. Soalannya adalah seperti berikut:

hakim assalamulaikum saye ingin bertanye 2 soklan pertama bolehkah kite wish hapy depavali atau pun marry crismas

Untuk menjawab persoalan ini, dr Yusuf Qardawi telah menjawab dalam bukunya (sila lihat rujukan). saya akan mengambil sebahgian dari apa yang telah beliau kemukakan sebagai jawapan pada persoalan ini

HUBUNGAN ORANG KAFIR DENGAN ORANG BERIMAN

Hubungan muslim dengan orang kafir adalah hubungan yang baik selagi mana orang kafir tersebut tidak memusuhi dan menganiya orang Islam. Ini jelas dari apa yang Allah gariskan dalam ayat berikut:

"Allah tidak menegah kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang kafir yang tidak memerangi kamu dan tidak menghalau kamu dari tempat tinggal kamu. Sesungguhnya Allah cinta kepada orang-orang yang berlaku adil." (8 : Mumtahanah)

Asma' bintu Abu Bakr telah datang berjumpa dengan Rasulullah saw , bertanya kepada baginda:

"Ya Rasulullah , sesungguhnya ibu ku yang masih kafir telah datang untuk menghubungi silatur rahim denganku, adakah aku boleh menghubungi silatur rahim dengannya?" Nabi saw menjawab :

صلي أمك

" Hubungi silatur rahim dengan ibu mu." (Hr Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan Islam tidak menghalang hubungan baik diantara muslim dan non muslim.

Nabi saw bersabda:

اتق الله حيث ما كنت وأتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن

" Bertakwalah kamu di mana kamu berada, ikuti perbuatan jahat kamu dengan perbuatan yang baik pasti akan dihapuskan dosa perbuatan jahat itu dan hendaklah kamu berakhlak bersama manusia dengan akhlak yang baik." (Hr Tirmizi dan Ahmad - hadis bersanad hasan)

Nabi saw menyebut perkataan manusia bukannya orang Islam atau orang yang beriman. Ini menunjukkan bahawa kebaikan itu hendaklah diberikan kepada semua manusia.

Sebahgian orang yahudi telah berjumpa dengan Nabi Muhammad saw dan mengucapkan:

السام عليك (kematian untuk mu)

Aisyah mendengar ucapan mereka, lantas menjawab:

وعليكم السام واللعنة يا أعداء الله (Untukmu kematian dan laknat wahai musuh-musuh Allah)

Nabi saw mencela Aisyah terhadap apa yang telah diucapkan. Aisyah pun berkata:

"Ya Rasulullah saw, Adakah engkau tidak mendengar apa yang mereka ucapkan?"

Baginda saw menjawab:

يا عائشة الله يحب الرفق في الأمر كله

"Wahai Aisyah, Allah cinta kepada kelembutan pada semua perkara." (Hadis Bukhari dan Muslim)

FATWA DR YUSUF AL-QARDAWI

Berdasarkan hujjah dan dalil yang lepas , Prof Dr Yusuf Qardawi telah berkata:

"Oleh kerana itu , Tidak ada tegahan kepada induvidu atau Kesatuan Islam untuk memberi ucapan tahniah sempena perayaan orang-orang kafir , samaada dengan mulut atau dengan kad. Selagi mana tidak mengandungi ucapan-ucapan berbentuk keagamaan yang bertentang dengan dasar-dasar Islam seperti mengakui Nabi Isa disalib. Ini kerana agama Islam menafikan perkara ini. Firman Allah swt:

"Dan mereka tidak membunuh Nabi Isa dan tidak menyalibnya tetapi yang dibunuh dan disalib adalah orang serupa mukanya dengan Nabi Isa a.s." (156 : an-Nisa)

Ucapan-ucapan yang biasa sempena hari raya orang kafir dan tidak mengandungi lafaz yang mengakui atau meredai agama mereka adalah ucapan sopan santun sesama manusia.

Tidak dilarang untuk menerima hadiah daripada mereka dan membalas hadiah mereka. Nabi saw menerima hadiah dari orang kafir seperti Muqauqis pembesar qibti di mesir dan lain-lain.

KESIMPULAN

Terdapat ulama yang melarang ucapan seumpama ini seperti ulama arab saudi. Oleh itu kita perlu berlapang dada dan tidak fanatik dengan mana-mana pendapat. Kita perlu bersatu dari segi fikiran dan kerja untuk menghadapi orang-orang kafir yang memerangi umat Islam. Kadang-kadang saya hairan, kita saling memboikot sesama muslim tetapi selamba membeli barangan buatan kafir yang memerangi umat Islam. Fikirkanlah.

Rujukan: Sofwatut Tafasir oleh Syeikh Sobuni dan Fi Feqhil Aqalliyyat al-Muslimah oleh Dr Yusuf Qardawi.

Tuesday, October 13, 2009

Sebab-sebab was-was dalam ibadah

MUKADDIMAH

Persoalan was-was sering ditimbulkan oleh masyarakat. Sebelum ini sy telah menulis berkenaan dgn was-was dalam akidah (klik sini) . Saya telah berkata ingin menulis tentang tajuk was-was dalam ibadah pula. Hajat ini sudah lama tertangguh. Ramai dikalangan sahabat dan sahabiah kita yang mengalami penyakit ini yang mengadu pada saya. Banyak perkara yang perlu disentuh dalam perkara ini. Buat permulaan ini saya akan menulis tentang sebab-sebab seorang itu terjebak dalam perkara ini. Oleh itu dengan penulisan ini, mudah-mudahan ia menjadi panduan berguna kepada semua.

SEBAB-SEBAB WAS-WAS

Banyak perkara yang menyebabkan was-was dalam ibadah ini. Diantaranya adalah seperti berikut:

1. Kejahilan dalam agama.

Oleh kerana kejahilan sebahgian besar manusia terhadap agamanya menyebabkan mereka melakukan perkara yang tidak disuruh oleh agamanya. Manusia yang berilmu mengetahui najis-najis yang dimaafkan sedangkan manusia yang jahil terpaksa membasuh najis-najis yang dimaafkan. Saya telah menulis tentang najis2 yang dimaafkan pd artikel yang lepas (sila rujuk sini ). Manusia yang berilmu juga akan menjimat air ketika bersuci dan tidak termasuk dalam golongan yang melampau yang disebut dalam Hadis Nabi saw:

إنه سيكون في هذه الأمة قوم يعتدون في الطهور والدعاء

"Sesungguhnya akan ada satu dikalangan umat ini yang melampau dalam bersuci dan berdoa." (Hr Abu Daud)

Imam Ghazali berkata:

"Penyakit was-was adalah disebabkan kejahilan dengan ilmu syariat atau rosak akalnya. Kedua-duanya adalah sebesar keaiban dan kekurangan."

2. Kelalaian dalam beribadah.

Perkara utama dalam ibadah adalah khusyuk mengingati tuhan. Tidak kira ketika wuduk atau dalam solat. Firman Allah swt:

فاعبدني وأقم الصلاة لذكري

" Hendaklan engkau menyembahku dan dirikan solat supaya dapat mengingatiku." (14 : Toha)

Apabila lalai, menyebabkan seseorang itu tidak mengingati apa yang dibasuh dalam bersuci dan apa yang dilakukan ketika solat. Ketika ini syaitan akan mengambil peranan menggodanya sehingga dia terjebak dalam penyakit was-was. Ibnu Abbas telah berkata:

الشيطان جاثم على قلب ابن ادم فإذا سهى وغفل وسوس فإذا ذكر الله خنس

"Syaitan mendempek di hati manusia. Apabila manusia lupa dan lalai syaitan akan menimbulkan was-was di dalam hatinya. Apabila manusia ingat Allah syaitan akan berpaling."

Ini bertepatan dengan ayat 36 dan 37 surah az-Zukhruf.


3. Syaitan yang menggoda.

Tugas syaitan adalah untuk merosakkan wuduk dan solat seorang. Nabi saw bersabda:

إن للوضوء شيطانا يقال له الولهان فاتقوا وساوس الماء

"Sesungguhnya ada syaitan yang menganggu ketika seseorang itu berwuduk yang bernama walhan. Waspadalah terhadap was-was dalam penggunaan air ketika berwuduk." (Hr Ahmad dan tirmizi)

Didalam solat pula ada syaitan yang bernama Khinzab menganggu manusia solat.

4. Terlampau berhati2 dan memerhati.

Apabila sesorang itu terlampau berhati2 dalam bersuci, wuduk atau mandi menyebabkan dia tercampak dalam penyakit was-was. Dalam bersuci, wuduk dan mandi hanya cukup perasaan Zhon dan tidak perlu tahap yakin. Perasaan zhon adalah seseorang yang rasa sudah bersih ketika beristinjak (basuh najis) dan rasa sudah basuh dalam berwuduk dan mandi. Adapun sedikit perasaan yang mengatakan tidak bersih lagi atau belum basuh ia dipanngil waham dan tidak perlu dilayan.

Adapun dalam masalah batal wuduk dan solat ini dapat dilihat orang yang berpanyakit was-was ini sering membatalkan wuduk atau solatnya kerana perkara yang tidak pasti. Sedangnkan dalam Islam hanya mengira perkara yang batal sekiranya ia berlaku secara yakin. Nabi saw bersabda:

إذا وجد أحدكم في بطنه شيئا فأشكل عليه أخرج منه شيء أم لا فلا يخرجن من المسجد حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا

"Apabila seseorang mendapati sesuatu pada perutnya dan tidak pasti samaada keluar angin dari duburnya atau pun tidak janganlah dia batalkan solatnya sehingga dia yakin keluar seperti mendengar bunyi kentut atau mencium baunya." (Hr Bukhari dan Muslim)

5. Lemah Iman

Kenipisan iman menyebabkan seseorang itu mudah itu ditipu daya oleh syaitan dan mengikut hawa nafsunya dalam perkara was-was. Kita lihat orang yang kuat imannya seperti Omar bin Khattab ra, syaitan takut untuk mendekati dan menggodanya. Nabi saw bersabda:

ايها يا ابن الخطاب والذي نفسي بيده ما لقيك الشيطان سالكا فجا إلا سلك فجا غير فجك

"Wahai anak Khattab, demi tuhan yang mana diriku berada dalam kekuasaanya, tidak ada syaitan yang berjalan menemui dirimu di satu jalan melainkan dia akan melalui jalan yang kamu tidak lalui." (Hr Bukhari dan Muslim)

KESIMPULAN

Oleh itu setiap muslim mengenal pasti setiap sebab-sebab diatas dengan baik dan cuba menghindari dengan baik. Pada artikel yang lain saya akan menyebut tentang contoh-contoh orang yang mengalami penyakit was-was dalam ibadah seperti yang diceritakan oleh para ulama. Minta maaf kerana jarang-jarang menulis. Doakan saya.

Rujukan: Al-Quran, Syarah sahih Muslim oleh Imam Nawawi, al-Waswasah karangan Dr Iadah alkubaisi dan al-Was wasah oleh Fuad Siraj.

Saturday, October 3, 2009

Jangan menilai seseorang melalui luarannya

MUKADDIMAH

Sedang berehat di rumah, sy membaca buku kecil (kutaib) yang bertajuk 'Toraif wa akhbarul Fuqaha wal A'rab' dan terbaca sebuah kisah menarik tentang imam Syafie ra. Kisah penghinaan seorang pendandan rambut kepada beliau berpakaian biasa. Pemandangan ini sangat biasa di zaman ini. Manusia hanya beradab dan berakhlak mulia pada orang yang berpenampilan bagus. Memilih jodoh dan teman pun hnya berdasarkan 'pandangan pertama' dan tidak menyelidiki yang tersirat dari penampilan yang menarik itu.

KISAH TAULADAN DARI IMAM SYAFIE

Dengan pakaian yang selekeh dan rambut yang panjang, imam Syafie pergi berjumpa dengan pendandan lelaki. Bila pendandan itu melihat keadaan imam Syafie (yg kelihatan seperti orang tiada berharta), dia berkata:

"Pergi cari pendandan lain."

Imam Syafie pun geram melihat keadaan pendandan tersebut dan bertanya kepada budak suruhan yang bersamanya:

"Berapa wang belanja yang kau ada."

Budak suruhannya menjawab:

"10 dinar (wang emas)."

Imam syafie berkata:

"Berikan wang itu kepada lelaki pendandan tadi."

Budak itu pun memberikan 10 dinar itu kepada pendandan dan imam Syafie pun pulang sambil mendendangkan syair:

علي ثياب لويباع جميعها

بفلس لكان الفلس منهن أكثر

Aku memakai pakaian-pakaian yang mana kalau dijual semuanya dengan satu fulus (duit tembaga), pasti satu fulus lebih tinggi nilainya.

وفيهن نفس لويقاس بمثلها

نفوس الورى كانت أجل وأخطر

Dalam pakaian itu terdapat satu jiwa (Iaitu Imam Syafie) yang mana jika dibandingkan dengan manusia-manusia lain pastilah jiwa itu lebih agung dan lebih hebat.

Disini imam Syafie menyatakan bahwa pakaiannya adalah amat murah sekali tetapi nilai ilmu dan takwa yang ada ditubuhnya tidak ternilai harganya.

KISAH DARI RASULULLAH SAW

Baginda Rasulullah saw telah menceritakan kepada kita sebuah kisah berikut:

"Ketika mana seorang bayi sedang menyusu susu ibunya, tiba-tiba lalu seorang lelaki yang menunggang kenderaan yang mewah dan penampilan yang hebat. Si ibu berdoa "Ya Allah jadikanlah anakku ini seperti lelaki ini." Lalu bayi tersebut meninggalkan puting susu ibunya dan melihat ke arah lelaki tersebut, seraya berkata " Ya Allah jangan jadikan aku sepertinya." Kemudian itu menghadap kembali puting susu ibunnya dan meneruskan menyusu. Kemudian lalu sekumpulan manusia yang memukul seorang hamba wanita sambil berkata " Engkau berzina , engkau mencuri." Perempuan itu hanya berkata حسبي الله ونعم الوكيل . Si ibu yang sedang menyusukan anaknya berkata "Ya Allah jangan jadikan anakku seumpamanya." Bayi itu sekali lagi meninggalkan puting susu ibnunya dan melihat ke arah perempuan itu , seraya berkata "Ya Allah jadikanlah aku seumpama perempuan itu."

Kemudian berlaku perbincangan diantara siibu dan sianak yang masih bayi. Si ibu berkata "Tadi apabila lalu seorang lelaki yang elok penampilannya, aku pun berkata "Jadikan anakku seumpamanya." Engkau pula berkata "Ya Allah jangan jadikan aku seperti lelaki ini." Bila manusia memukul seorang wanita sambil berkata "Engkau berzina , engkau mencuri." Aku pun berdoa " Ya Allah jangan jadikan anakku seumpamanya." Namun engkau berdoa "Ya Allah jadikan aku sepertinya." Kenapa engkau menyalahi doaku?"

Si anak menjawab:

"Sesungguhnya lelaki itu sebenarnya adalah seorang samseng, lalu aku berdoa "Ya Allah jangan jadikan aku sepertinya." Adapun perempuan ini yang dilemparkan kepadanya tuduhan "Engkau berzina, engkau mencuri."Sedangkan dia tidak melakukan semua itu. Oleh itu aku berdoa "Ya Allah jadikan aku sepertinya (bebas dari melakukan maksiat)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim - sahih)

Pengajaran Hadis

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa kita tidak boleh menilai seseorang melalui first impression.


KESIMPULAN

Oleh itu kita jangan mudah untuk melabel dan menghukum seseorang. Untuk kita berperasangka buruk pun dilarang, inikanlah kita melafazkannya. Sangka buruk adalah satu amalan hati. Ia adalah satu kesalahan. Firman Allah swt:

ياأيها الذين آمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم

"Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jauhkan dari kebanyakan sangkaan buruk. Sesungguhnya sebahgiannya adalah dosa." (12 : al-Hujurat)

Ini sekiranya di dalam hati sudah dikira sebagai berdosa, kalau kita melafazkannya jadilah pembohongan yg sangat besar (buhtan) . Buhtan ini yg orang melayu sebut fitnah. Padahal fitnah ini bermaksud cubaan dalam bahasa arab. Sabda Nabi saw:

وإن لم يكن فيه فقد بهته

"Sekiranya tuduhan itu tidak betul maka kamu telah melakukan buhtan kepadanya." (Hr Muslim - sahih)

Buhtan ini adalah أشد الكذب : Pembohongan yang bersangatan.

Oleh itu Islam telah menyarankan kita untuk merisik atau menyelidik dari sumber yang betul bagi mengenal seseorang. Kalau tidak pasti janganlah mudah menghukum seseorang. Janganlah mudah itu mempercayai khabar-khabar yang tidak ada bukti yang diterima Islam.

Rujukan: Sofwatut Tafasir oleh as-Sobuni, 'Toraif wa akhbarul Fuqaha wal A'rab, Raudatul Muttaqin syarah Riadus Salihin oleh Syeikh Irfan Hasyunah.






Monday, September 28, 2009

Malunya seorang wanita Islam


MUKADDIMAH

Dulu2 saya ada ditanya oleh bekas pelajar sy ada bertanya tentang muslimah yang menayangkan pelbagai gambar didalam blog dan freindster. Saya jawab hukumnya harus selagi mana ia menutup aurat. Namun dari sudut adab yang tinggi bagi seorang muslimah tidak selayaknya sebagai muslimah yang mempunyai sifat malu yang tinggi untuk dia sewenang-wenangnya mendedahkan diri dan mukanya kepada khalayak ramai tanpa tujuan yang dibenarkan. Sebentar tadi saya baca buku "makarimul akhlak Fil Islam" yang tentang kisah seorang wanita yang malu mendedahkan mukanya di mahkamah perbicaraan Islam. Oleh itu saya ingin menulis tentang malunya seorang wanita.

MALUNYA WANITA DALAM QURAN

Didalam al-Quran disebut kisah dua anak Nabi Syuaib as dengan Nabi Musa as. Firman Allah swt:

"Salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib as berjalan untuk menemui Nabi Musa dengan penuh rasa malu" (25 : al-Qasas)

Dalam tafsir Sofwatut Tafasir menyatakan anak perempuan Nabi Syuaib as datang sambil menutup mukanya dengan pakaiannya.

Anak Nabi Syuaib as ini datang berjumpa dengan Nabi Musa atas arahan ayahnya yang sudah uzur.

Pengajaran: Wanita yang mempunyai urusan dengan lelaki hendaklah berjumpa dengan penuh rasa malu dan adab yang tinggi.

MALUNYA WANITA DALAM SUNNAH

كان صلى الله عليه وسلم أشد حياء من العذراء في خدرها

"Nabi saw tersangat malu lebih dari malunya anak dara yang berada disebalik tirainya." (Hr Ahmad -sahih)

Dalam hadis menunjukkan kepada malunya seorang wanita terutama anak dara. Ia sepatutnya tidak mempamirkan diri kepada yang bukan mahramnya tanpa keperluan.

KISAH MALUNYA SEORANG WANITA

Seorang isteri telah mengemukakan aduan kepada qadi Mu'tadid Ali ar-Rayy tentang 500 dinar (wang mas) kahwin yang belum dibayar oleh suaminya. Wanita tadi membawa beberapa orang saksi yang menyokong dakwaannya. Si suami tidak mengakui dakwaan si isteri. Qadi pun menyuruh saksi-saksi untuk mengemukakan penyaksian mereka untuk menyokong dakwaan si isteri. Para saksi berkata:

"Wanita ini hendaklah memperlihatkan wajahnya supaya kami dapat pastikan dia lah wanita yang kami maksudkan."

Si Qadi menerima permintaan para saksi dan menganggapnya itu hak saksi2. Wanita menolak untuk menunjukkan mukanya kerana malu. Si Qadi menyuruh wanita tadi untuk memperlihatkan wajahnya untuk meneruskan dakwaan tadi. Tiba2 si suami yang bersimpati dengan isterinya segera berkata:

"Tidak usah tunjukkan muka mu. Aku mengakui dakwaan mu itu."

Si isteri terkesan dengan sikap suaminya lalu berkata:

"Aku menjadikan Allah sebagai saksi dan juga kamu semua bahawa aku halalkan semua mas kahwinku dunia dan akhirat."

Pengajaran: Walaupun ditempat yang sepatutnya wanita tadi membuka purdahnya untuk mendapatkan haknya tetapi oleh kerana itu sifat malu yang tinggi menyebabkan dia sanggup mengorbankan 500 dinar (wang emas).

KESIMPULAN

Oleh itu, walaupun wanita diharuskan meletakkan gambarnya diruang yang dilihat oleh bukan mahramnya selagi menutup aurat tetapi sebagai muslimah yang kuat pegangannya dengan Islam dan sifat malunya yang tinggi hendaklah menjaga dari mendedahkan gambarnya tanpa sebab dan tujuan seperti diletakkan gambarnya di blog dan friendster. Terutama yang mempunyai paras rupa yang cantik amatlah dituntut untuk mengelakkan perkara ini. Ini kerana Islam melarang wanita melakukan perkara yang boleh mencairkan hati lelaki dan menimbulkan fitnah. Firman Allah swt:

ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن

"Janganlah para wanita itu menghentak kakinya dengan tujuan supaya orang lelaki mendengar bunyi gelang kakinya sehingga menarik perhatian orang lelaki." (Sebahgian ayat 30 : an-Nur)

Peringatan: Hendaklah sifat malu ini tidak memilih jenis bangsa dan tempat. Jangan di luar negara (mesir contohnya) mempunyai malu yang tinggi tetapi tidak dimalaysia. Hendaklah sifat malu itu kerana Allah bukannya kerana manusia. Sentiasa mengawasi kita dimana sahaja kita berada.

MALUNYA WANITA TIDAK MENEGAH IA UNTUK KELUAR MENUNTUT ILMU AGAMA

Walaupun Islam menyanjung sifat malu pada wanita tetapi hendaklah sifat malu itu tidak menegah dari dia keluar menuntut ilmu. Kita lihat kesungguhan para wanita di zaman Nabi saw. Abu Sai'id al-Khudri berkata:

"Seorang wanita berjumpa Rasulullah saw dan berkata "Wahai Rasulullah, orang2 lelaki beruntung kerana selalu mendapat tazkirah darimu. Kami minta satu hari untuk kamu khususkan kepada kami bagi menyampaikan ilmu yang telah engkau ajarkan." Lalu Nabi saw menjawab:

اجتمعن يوم كذا وكذا

"Berhimpun pada hari sekian-sekian."

Kami pun berhimpun pada hari yang telah ditetapkan Nabi dan Nabi saw mengajar mereka apa yang telah ajarkan pada Nabi saw." (Hr Bukhari dan Muslim - sahih)

Dalam athar ada menyebut:

نعمت النساء نساء الأنصار لم يمنعهن الحياء من السوءال عن دينهن

"Sebaik-baik wanita adalah wanita ansar, sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka bertanya dan mencari ilmu agama."

Pengajaran: Oleh itu ditempat yang diperlukan , wanita hendaklah berani e hadapan. Kita lihat zaman Nabi dan para sahabat bagaimana berani Nusaibah ra berjihad menentang musuh, Rafidah al-Aslami merawat orang lelaki yang cedera dalam peperangan, Asma' bintu Abu bakar yang menghantar makanan pada Nabi dan ayahnya dalam peristiwa hijrah, Khaulah yang menegur Khalifah umar di khalayak ramai dan lain-lain. Jangan menggunakan alasan malu untuk menjauhkan dari kerja-kerja menegakkan Islam. Kerja-kerja ini adalah melibatkan lelaki dan perempuan seperti yang dinyatakan dalam ayat 71 surah at-Taubah.

Rujukan: Safwatut Tafasir oleh Sobuni, Makarimul Akhlak Fil Islam dan Riadus salihin oleh Imam Nawawi.

Wednesday, September 16, 2009

Waktu tahajjud dan qiamullail


MUKADDIMAH

Banyak kali persoalan berkenaan dengan perbezaan tahajjud dan qiamullail diajukan kepada saya. Begitu juga dengan waktu permulaan bagi keduanya. Terbaru adalah soalan yang diajukan di dalam shoutbox. Oleh itu saya akan jawab dengan mengemukakan dalil dan pandangan ulama. Adapun cara qiamullil Rasulullah boleh klik di sini .

PERBEZAAN QIAMULLAIL DAN TAHAJJUD

Qiamullail: Setiap solat sunat yang dilakukan pada waktu malam.

Tahajjud: Setiap solat sunat yang dilakukan selepas tidur pada waktu malam.

Oleh itu setiap solat tahajjud adalah qiamullail dan tidak semestinya solat qiamullail itu solat tahajjud.

Dalilnya adalah hadis yang diucapkan oleh seorang sahabat Nabi saw , iaitu Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:

بحسب أحدكم إذا قام من الليل يصلي حتى يصبح : أنه قد تهجد؟ إنما التهجد المرء يصلي الصلاة بعد رقدة ثم الصلاة بعد رسول الله وتلك كانت تلك صلاة رسول الله

" Adakah sesorang menyangka apabila dia menghidupkan malam dengan solat sehingga subuh itu sudah dikira tahajjud? Sesungguhnya tahajjud hanyalah solat malam selepas tidur. Kemudian solat selepas tidur. Itulah cara solat Rasulullah saw." (Hr Thabrani )

Daripada Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:

كان رسول الله يتهجد بعد نومه

"Rasulullah saw solat tahajjud selepas tidur." (Hr Ibnu Abi Khaisamah - hasan)

Ulama Syafie dan Maliki memberi definasi solat tahajjud:

"Solat sunat pd waktu malam selepas tidur."

PERMULAAN WAKTU SOLAT QIAMULLAIL

Rasulullah saw bersabda:

لا بد من صلاة بليل ولو حلب شاة وما كان بعد صلاة العشاء الآخرة فهو من الليل

"Solat malam adalah satu kemestian sekalipun sekadar perahan susu kambing biri-biri. Solat yang dilakukan selepas solat fardu isya adalah dikira solat malam." (Hr Thabrani - daif)

Ulama telah berselisih pendapat pada masalah ini kepada dua pendapat:-

Pendapat pertama:

Solat qiamullail adalah solat sunat yang dilakukan selepas solat isya.
Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan sebahgian ulama syafie.

Pendapat kedua:

Tidak disyaratkan solat qiamullail itu dilakukan selepas isya'. Waktu solat qiamullail bermula apabila masuk waktu magrib.

Imam Bahuti berkata:

"Disunatkan Qiamullail. Waktunya bermula dari waktu magrib sehingga waktu subuh."

PERMULAAN WAKTU TAHAJJUD

Ada dua pendapat mengenai perkara ini seperti berikut:

Pertama: Mazhab Syafie

Imam Syarwani berkata: Tahajud menurut istilah ulama syafie adalah sembahyang sunat yang dilakukan selepas solat isya sekalipun sebelum masuk waktu isya bagi yang melakukan jamak takdim dan hendaklah dilakukan selepas tidur. Tidak kira apa jua jenis solat sunat samada solat sunat rawatib atau solat-solat sunat yang lain.

Kedua: Mazhab hanafi.

MAzhab hanafi mensyaratkan untuk dikira solat tahajjud hendaklah dilakukan selepas masuknya waktu isya dan dilakukan selepas tidur.

WAKTU QIAM DAN TAHAJJUD RASULULLAH SAW

Aisyah ra telah menjawab soalan tentang solat malam Rasulullah saw:

كان ينام أوله ويقوم آخره فيصلي ثم يرجع إلى فراشه فإذا أذن المؤذن وثب فإن كان به حاجة اغتسل وإلا توضأ

"Nabi saw tidur pada awal malam kemudian bangun diakhir malam dan melakukan solat malam. Kemudian baginda akan berjimak dengan isterinya jika baginda berkeinginan sebelum baginda tidur semula. Bila azan berkemandang, baginda akan bangun dan mandi junub jika telah berjimak dan hanya berwuduk jika tidak berjimak." (Hr bukhari dan Muslim)

WAKTU HABIS QIAMULLAIL

Kebanyakan ulama yang terdiri dari mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali mengatakan habisnya masa qiamulail dan tahajjud adalah bila masuk waktu subuh.

Aisyah ra telah berkata:

كان رسول الله صلى الله يصلي من الليل حتى يكون آخر صلاته الوتر

" Rasulullah saw solat pada waktu malam yang diakhiri dengan solat witir." (Hr Muslim - sahih)

Ini menunjukkan solat Rasulullah saw berakhir sebelum masuk waktu subuh.

Pesanan Penting:

Hendaklan setiap muslim yang telah qiamullail dan tahajjud pada bulan ramadan meneruskan amalan mereka selepas ramadan. Janganlah kita merobohkan binaan amalan yang telah dibina di bulan Ramadan. Nabi saw bersabda:

يا عبد الله لا تكن مثل فلان كان يقوم الليل ثر ترك قيام الليل

"Wahai Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti si fulan, dahulu dia melakukan qiamullail. Kemudian dia meninggalkannya." (Hr Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan amalan2 yang lain kita perlu teruskan dengan ikhlas.

Rujukan: Mawaqit Ibadah Zamaniah wal Makaniah oleh Dr Nizar Mahmud dan Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Asqalani.


Sunday, September 6, 2009

Tahap dan tingkatan puasa

Bulan Ramadan semakin meninggalkan kita. Saat artikel ini ditulis, sudah masuk hari yang ke 16. Bagaimanakah dengan puasa kita. Ditahap "tadika" , "sekolah rendah" , "sekolah menengah " atau "universiti". Masing2 melalui ramadan mengikut tahap keimanan dan ketakwaannya. Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain. Firman Allah swt:

ولكل درجات مما عملوا

"Dan setiap orang yang beramal mempunyai tahap dan tingkatan yang tertentu." (Al-'Anam : 132)

Kebanyakan kita hanya melalui "ramadan primary school" iaitu hanya menahan lapar dan dahaga. Adakah ini sudah memadai untuk membolehkan puasa kita diterima. Cuba kita renung hadis ini:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الّزُوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلهِ حَاجَةً فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

"Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang tidak elok maka Allah tidak memerlukan (memberi pahala) terhadap meninggalkan makan dan minum." (Hr Bukhari - sahih)

Hadis dibawah ini lebih menjelaskan lagi apakah puasa yang sebenar. Nabi saw bersabda:

لَيْسَ الّصِيَامُ مِنْ الّطَعَامِ وَالّشَرَابِ إِنَّمَا الّصِيَامُ مِنَ الّلَغْوِ وَالّرَفَثِ

"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi - sahih)

Setelah kita membaca kedua hadis ini, kita mesti merenung dan mengingati kembali segala puasa-puasa kita sebelum ini. Bagaimana dengan puasa kita selama ini. Cuba kita lontarkan persoalan-persoalan ini:

1. Adakah kita masih mengumpat (walaupun benar) dan mengata keburukan orang lain semasa puasa? Memaki dan mencerca orang lain?
2. Adakah kita masih memandang perkara yang haram semasa puasa? melihat movie yang mengandungi gambar yg boleh menyeronokkan nafsu syahwat kita? kebanyakan drama, filem dll ada perkara ini.
3. Adakah kita masih melakukan hubungan cinta semasa puasa ?
4. Adakah kita mendengar lagu-lagu yang haram atau mendengar orang yang mengumpat ketika puasa?
5. Adakah kita menggunakan tangan dan kaki kita untuk perkara yang haram?

Kalau ada salah satu perkara diatas, maka dikhuatiri pahala amalannya lenyap begitu sahaja. Habislah penat lelah dia berpuasa. Renungilah hadis dibawah ini:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوْعُ وَالْعَطَش

"Ramai orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja." (Hr Ibnu Majah - hasan sahih)

Semestinya kita merasa takut dan bimbang termasuk dalam orang yang tidak diterima puasa dan amalannya. Inilah sikap para ulama salafus soleh yang begitu bimbang amalan mereka tidak diterima walaupun mereka telah melakukan yang terbaik. Abdullah Ibnu Umar berkata:

"Kalaulah aku mengetahui Allah sudah menerima daripadaku satu sujud atau satu dirham sedekah , pasti kematian lebih aku cintai dari segalanya."

Seorang sahabat Nabi saw Fudalah ra juga berkata:

"Kalau aku tahu Allah telah menerima amalanku sebesar biji zarah lebih aku sukai dari dunia dan seisinya."

Oleh itu kita kena sentiasa menilai kembali puasa kita, ditahap manakah ia? kalau kita sudah dapat memelihara anggota kita dari perbuatan yang tidak elok semasa puasa maka kita sudah layak ke tahap pertengahan atau kita sebut "sekolah menengah".

Bagaimakah untuk kita melayakkan puasa kita ditahap "universiti". Kita bukan sahaja menjaga anggota kita semasa puasa malahan menjaga hati kita dari selain dari Allah. Inilah jawapan seorang Soleh, bila ditanya "Kamu puasa dari apa?" lalu beliau menjawab:

أن الصائم عما سوى الله

"Aku menahan diri dari mengingati selain dari Allah."

Kesimpulan

Marilah kita sama-sama meningkat kualiti puasa kita. Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain. Ini bagi memastikan amalan kita diterima. Ramai orang yang diberi kekuatan untuk beramal tetapi tidak ramai amalannya yang diterima. Imam Ibnu "Ataillah as-Sakandari berkata:

رُبَّمَا فَتَحَ لَكَ بَابَ الّطَاعَةِ وَلَمْ يَفْتَحْ لَكَ بَابَ الْقَبُوْلِ

"Kemungkinan Allah membuka pintu amal untuk kamu dan Allah belum membuka pintu penerimaan amalan untukmu."

Penerimaan amalan memerlukan keikhlasan dan bertepatan dengan apa yang dituntut oleh syara'. Kita mesti menuntut ilmu untuk memastikan amalan kita bertepatan dengan syariat dan bagaimana utuk mencapai keikhlasan. Oleh itu sama-samalah kita turun belajar menambah ilmu di kelas-kelas pengajian. Sunnah dalam menuntut ilmu adalah belajar berguru secara berdepan seperti mana Nabi terima wahyu dari Jibril dan para sahabat belajar dari Nabi saw. Nabi saw bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرُيْدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يُعَلِّمَهُ كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍ تَامٌّ حَجَّتُهُ

"Sesiapa yang pergi ke Masjid waktu pagi hanya semata-mata menuntut ilmu yang baik atau mengajarnya dia mendapat pahala orang yang menunaikan haji yang mana sempurna hajinya." (Hr Hakim dan Tabrani - Hasan)

Kenapa pahala sebesar ini tidak diberikan kepada orang yang menambah ilmu dgn pembacaan? Cuba fikir... InsyaAllah saya akan jawab dalam tajuk belajar secara berdepan dengan guru. Tidak salah membaca, malahan digalakkan tapi jadikan ia sebagai tambahan bukan yang utama.

TINGKATKAN KUALITI PUASA KITA

Rujukan: Tafsir Sofwatut Tafasir oleh Sobuni, Lataiful Ma'arif oleh Ibnu Rajab dan Makhawifus Solihin Min adamil Qabulil A'mal oleh Dr Muhammad Azuz .